Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Aktiviti ziarah sempena perayaan, majlis perkahwinan dan aktiviti keagamaan dikesan antara punca tercetusnya kluster baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 29 kluster baharu yang dikenal pasti dan 13 daripadanya membabitkan tempat kerja dengan 457 kes, manakala 11 kluster lagi adalah dalam komuniti dengan 293 kes.

Menurutnya, tiga lagi kluster membabitkan kumpulan berisiko tinggi dengan 50 kes, satu kluster pendidikan yang mencatatkan 23 kes dan satu kluster keagamaan merekodkan lapan kes.

"Kluster tercetus akibat ziarah adalah di Kampung Dewan Kecil, Machang di Kelantan membabitkan individu yang menjalankan aktiviti ziarah sempena perayaan.

"Kes indeks bagi kluster ini adalah kes ke 1,041,876 iaitu wanita tempatan berusia 68 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kes indeks itu mula bergejala pada 25 Julai lalu," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kluster akibat ziarah adalah di Kampung Kubang Telaga, Bachok di Kelantan.

Menurutnya, kes indeks bagi kluster ini adalah kes ke 1,093,081 iaitu wanita tempatan berusia 43 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 30 Julai lalu hasil saringan individu bergejala selepas mula bergejala pada 26 Julai lalu.

"Kluster akibat majlis perkahwinan dan sambutan perayaan pula adalah Kluster Cabang Empat Chetok 2 di Pasir Mas, Kelantan.

"Kes indeks bagi kluster itu adalah kes ke 1,093,096 iaitu wanita tempatan berusia 32 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 30 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kes indeks itu mula bergejala pada 24 Julai lalu dan nama kluster terbabit merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Cabang Empat Chetok, Pasir Mas.

"Kluster ini berulang buat kali kedua selepas ia pernah dilaporkan membabitkan lokaliti yang sama sebelum ini," katanya.

Menurutnya, kluster disebabkan aktiviti keagamaan pula membabitkan Kluster Kampung Belukar Kadok di Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, kes indeks bagi kluster itu adalah kes ke 1,059,483, membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 28 Julai lalu selepas mula bergejala pada 25 Julai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 7:36 PM