Janji temu sempena vaksinasi walk in di PPV bermula hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Janji temu sempena vaksinasi walk in di PPV bermula hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Vaksinasi secara 'walk-in' (jumpa terus) di Lembah Klang yang bermula hari, ternyata mendapat sambutan memberangsangkan daripada segenap lapisan masyarakat.

Tidak terkecuali Rumah Prihatin di Hotel Grand Season di sini, yang mengambil bahagian memberi perkhidmatan vaksinasi bagi individu yang belum mendapat temujanji melalui aplikasi MySejahtera.

Ahli Lembaga Penasihat Rumah Prihatin, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, pihaknya menerima sebanyak 2,400 dos vaksin untuk diberikan kepada warga kota hari ini.

"Rumah Prihatin ini terbabit dan menyokong Pusat Pemberian Vaksin (PPV) 'walk-in' yang tersenarai. Kami menerima mereka yang datang secara jumpa terus terutama golongan rentan dalam memastikan mereka juga mendapat vaksin.

"Kawasan Rumah Prihatin ini juga istimewa kerana berada dekat dengan Chow Kit dan sekitarnya. Disebabkan itu kami menerima kehadiran membabitkan golongan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), gelandangan, transgender, pekerja sosial, penjaja dan warga asing.

"Pada minggu ini, Rumah Prihatin akan memberi vaksin pada hari ini (semalam), 4 Ogos dan 6 Ogos membabitkan kira-kira 7,200 dos vaksin bagi ketiga-tiga hari berkenaan," katanya kepada Harian Metro tadi.

Zaizalnizam merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berkata, konsep Rumah Prihatin ini bukan hanya dilaksanakan di Wilayah Kuala Lumpur, malah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, pihaknya yakin dengan pemberian vaksin secara 'walk-in' dapat mencapai imuniti kelompok di Wilayah Persekutuan menjelang 31 Ogos ini.

Tinjauan wartawan Harian Metro ke lokasi mendapati orang ramai sudah mula beratur seawal jam 8 pagi untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Penuntut, Esther Sigamani, 21 tidak melepaskan peluang mahu mendapatkan dos suntikan vaksin pertamanya.

"Saya dimaklumkan oleh kawan berhubung pemberian vaksin tanpa perlu temu janji. Lagi pula semua ahli keluarga saya sudah mendapat suntikan vaksin," katanya yang menerima vaksin Pfitzer.

Katanya, semua proses vaksinasi berjalan lancar dan cepat, malah dia akan mencadangkan kepada rakan yang lain untuk segera mendapatkan vaksin covid-19.

Sementara itu, bagi kakitangan swasta, Joanne Ng, 41, dia dan suami hadir bersama mendapatkan dos vaksin pertama.

Katanya langkah kerajaan membuka peluang mendapatkan vaksin secara 'walk-in' harus dipuji kerana memudahkan masyarakat.

"Saya tiba sejak jam 10 pagi dan petugas di sini begitu membantu. Tiada yang dilihat bersesak-sesak malah semua dibuat secara teratur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 4:22 PM