Raja Noraina Raja Rahim dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Hanya tiga peratus daripada populasi individu dewasa di Lembah Klang yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, kira-kira 97 peratus individu dewasa sudah divaksin menerusi Operasi Lonjakan Kapasiti Lembah Klang yang berakhir semalam.

Katanya, tumpuan seterusnya untuk memastikan baki mereka yang belum menerima vaksin sama ada tidak berdaftar atau tidak hadir janji temu, mendapat suntikan pada bulan ini menerusi dua kaedah.

"Kaedah pertama ialah melalui pemberian vaksin secara 'walk in', khusus untuk penduduk di Lembah Klang yang bermula 2 petang hari ini di sembilan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih.

"Inisiatif 'walk-in' ini berlandaskan kepada sasaran dan keperluan untuk melindungi penduduk di sini yang menjadi pusat penularan wabak Covid-19 ketika ini.

"Inisiatif ini adalah untuk pemberian vaksinasi dos pertama dan tidak membabitkan individu ingin mendapatkan dos kedua yang akan diberikan mengikut masa bersesuaian dari tarikh suntikan dos pertama masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) secara maya hari ini.

Khairy berkata, kaedah berikutnya melalui program jangkauan (outreach programme) ke kawasan pinggiran Lembah Klang yang mensasarkan penduduk pinggir bandar tidak berdaftar dan mungkin membatalkan janji temu sebelum ini.

Selain mengutamakan golongan berusia dan komorbid, katanya, pihaknya juga membuat pengasingan bagi PPV warganegara dan bukan warganegara bagi memudahkan kawalan terhadap orang ramai, mengambil kira pengalaman di beberapa PPV pada minggu lalu.

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 2:41 PM