Raja Noraina Raja Rahim dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pemberian suntikan vaksin secara tanpa temujanji bagi warga emas akan diperluaskan ke seluruh negara bermula minggu depan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin berkata, pengumuman dan butiran lanjut mengenainya bagaimanapun akan dibuat oleh badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat negeri.

Katanya, inisiatif itu membabitkan warga emas di luar Lembah Klang yang belum menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

"Ada negeri sudah bermula dan ada yang sudah bersedia.

"Pengumuman akan dibuat oleh CITF peringkat negeri. Di peringkat Persekutuan, negeri (luar Lembah Klang) sudah boleh mulakan pemberian vaksin untuk warga emas belum terima dos pertama.

"Kita sudah serahkan dan turunkan kuasa kepada CITF negeri untuk buat pengumuman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan PICK secara maya, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 2:04 PM