Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Majlis keraian secara sembunyi serta aktiviti rentas negeri dan daerah punca berlakunya peningkatan kes positif Covid-19 di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, aktiviti sepanjang perayaan Aidiladha yang dilakukan tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) juga dikenal pasti sebagai punca berlakunya peningkatan kes positif Covid-19.

Katanya, peningkatan kes juga turut berpunca daripada kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar yang tidak disaring sehingga mencetuskan kluster dalam kalangan mereka.

"Terdapat majlis keraian dijalankan secara sembunyi dalam masyarakat, serta aktiviti merentas daerah dan negeri semasa perayaan walaupun ia tidak dibenarkan pihak berkuasa," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Berdasarkan situasi terkini Covid-19, dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) semalam, Terengganu mencatatkan sebanyak 883 kes dengan tiga kematian.

Dr Ahmad Samsuri berkata, saringan kontak rapat dan bersasar di beberapa lokaliti di seluruh negeri serta wujudnya kes bergejala yang menular dengan cepat dalam komuniti juga antara punca berlakunya peningkatan kes.

Katanya, kerajaan negeri menjangkakan berlaku peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh dua minggu akan datang berikutan aktiviti pengesanan sedang giat dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kerajaan akan menambah dan mempercepatkan pemberian vaksin di kawasan kritikal bagi mengurangkan penularan Covid-19 di negeri ini.

"Kita akan memohon daripada pihak berautoriti supaya perkara itu dilaksanakan di kawasan yang mengalami jangkitan tinggi, terutama di daerah Kemaman dan Dungun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 1:01 PM