Zin Azman (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada komuniti maritim di Kampung Selabat, Bako,Kuching. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Zin Azman (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada komuniti maritim di Kampung Selabat, Bako,Kuching. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Kuching: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sarawak menyampaikan sumbangan 80 bungkusan keperluan asas bagi membantu keluarga terjejas akibat pandemik Covid-19 di Kampung Selabat, Bako, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, Program Penyerahan Bakul Makanan itu antara tanggungjawab sosial bagi membantu meringankan beban komuniti.

"Ini juga sebagai tanda penghargaan Maritim Malaysia kepada komuniti maritim yang selama ini telah bekerjasama dalam menyalurkan maklumat kepada agensi ini.

"Program ini dilaksanakan mengikut situasi norma baharu dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,"katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya,sumbangan bakul makanan itu memfokuskan kepada kampung angkat di sekitar Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak serta perairan Kuching.

"Sebanyak 80 bungkusan untuk 80 keluarga, berisi barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung gandum, telur, biskut dan sebagainya telah diagihkan, termasuk kepada pemilik-pemilik bot nelayan di sekitar perairan Kuching.

"Selain itu, pelekat kesedaran keselamatan di laut yang mengandungi nombor talian pejabat Maritim Malaysia yang terdekat turut diedarkan," katanya.

Beliau berkata,bantuan berkenaan adalah hasil sumbangan daripada Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 11:11 AM