ABANG Johari. FOTO Arkib NSTP
ABANG Johari. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Pengisytiharan Proklamasi Darurat Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan pendirian kerajaan negeri untuk sentiasa memberikan keutamaan kepada dua perkara, iaitu menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat serta menegakkan amalan demokrasi berparlimen di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, dengan pengisytiharan itu, Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang perlu diadakan dalam masa terdekat boleh ditangguhkan sehingga data saintifik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi lain yang berkaitan memberi jaminan bahawa pandemik Covid-19 tidak lagi memudaratkan keselamatan rakyat.

Abang Johari berkata, seluruh jentera pentadbiran dan rakyat negeri ini mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan baginda untuk memastikan PRN-12 hanya boleh diadakan apabila pandemik dapat dikawal.

"Bagi memastikan amalan demokarasi berparlimen dipelihara, kita perlu memperoleh semula mandat daripada rakyat Sarawak sebaik sahaja keadaan pandemik mengizinkan.

"Justeru itu, mengikut Ordinan, Darurat ini akan tamat pada 2 Februari 2022 atau boleh ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong selepas menimbangkan pandangan daripada Kerajaan Negeri Sarawak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dengan adanya peruntukan undang-undang itu, mandat daripada rakyat dijamin akan diperoleh dengan segera, sebaik sahaja pandemik dapat dikawal dan keadaan mengizinkan.

"Yang penting ia hanya akan berlaku sekiranya berdasarkan data saintifik dan nasihat profesional, keselamatan dan kesihatan rakyat Sarawak tidak akan dikompromi sebelum pilihan raya diadakan," katanya.

Sehubungan itu katanya, rakyat Sarawak menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyokong Proklamasi Darurat dan juga Ordinan Darurat bagi Negeri Sarawak yang akan berkuatkuasa mulai 2 Ogos ini sehingga 2 Februari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 3:21 PM