Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) dan One Nation menyumbang tujuh pam picagari untuk kegunaan pesakit Covid-19 di Hospital Serdang, hari ini.

Hospital Serdang kini menjadi hospital Covid-19 keempat selepas Hospital Sungai Buloh (HSB), Hospital Ampang dan Hospital Selayang susulan peningkatan wabak itu di Lembah Klang.

Presiden Muslim Care, Zulkifli Wahijan berkata, tujuh peralatan berharga RM30,000 itu disumbang bagi memudahkan hospital berkenaan merawat pesakit Covid-19 sebagai keperluan perubatan.

"Pam picagari ini untuk kegunaan jangka panjang hospital bagi merawat pesakit Covid-19 yang kian meningkat di Lembah Klang.

"Malah, Hospital Serdang juga menjadi hospital Covid-19 bagi terutama kes kritikal dan memerlukan rawatan rapi," katanya kepada Harian Metro.

Muhyiddin Yassin. FOTO IHSAN FB RTM
Muhyiddin Yassin. FOTO IHSAN FB RTM

Penyerahan disampaikan Zulkifli dan Presiden One Nation, Halim Hafiz kepada Timbalan Pengarah Hospital Serdang, Dr Ferwahn Fairis Ab Karim hari ini.

Zulkifli berkata, pihaknya akan memperluaskan sumbangan barangan perubatan kepada hospital sekitar Lembah Klang minggu depan.

"Sebelum ini, Muslim Care juga turut menyumbang katil hospital dan oksigen 'concentrator' kepada Hospital Kampar, Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang berjumlah RM60,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 3:40 PM