Kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Nuraliawati Sabri
Kedua-dua tertuduh didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: Dua kakitangan kesihatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas enam pertuduhan bersubahat dan menipu pembayaran tidak wujud berjumlah hampir RM10,000.

Tertuduh Mohd Zamry Yazid, 46, dan Muhammad Nurhafizi Samat, 33, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan dalam prosiding berasingan.

Mohd Zamry yang berdepan dengan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama didakwa bersubahat dengan Muhammad Nurhafizi menipu seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin.

Ia bagi memperdayakan untuk memperakukan pembayaran berkenaan Pembekalan Peralatan Bagi Unit Kawalan Mutu Air (KMAM) yang berjumlah RM9,536 kepada sebuah premis perniagaan sedangkan pembekalan peralatan itu tidak pernah dibekalkan kepada PKD.

Manakala Muhammad Nurhafizi didakwa dengan tiga pertuduhan menipu kakitangan yang sama dengan memperdayakannya untuk memperakukan pembayaran berkenaan pembekalan peralatan terbabit sedangkan ia tidak pernah dibekalkan.

Bagi perbuatan itu tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di PKD Jasin pada 5 dan 9 November 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM4,000 diberi kepada tertuduh dengan syarat tambahan passport diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri sebulan sekali ke pejabat SPRM dan tidak kacau ganggu saksi.

Manakala, tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork dan Mohd Zulfiqri Zakaria.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap tertuduh selain menetapkan 7 September depan tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 2:06 PM