TUAN rumah yang menganjurkan majlis kenduri dikompaun RM4,000 kerana melanggar SOP. FOTO ihsan PDRM
TUAN rumah yang menganjurkan majlis kenduri dikompaun RM4,000 kerana melanggar SOP. FOTO ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis mengeluarkan kompaun terhadap lelaki berusia 58 tahun kerana menganjurkan kenduri sempena majlis pernikahan di Kampung Padang, Mukim Gajah Mati, Pokok Sena, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki itu dikompaun pasukan pemantau Op Covid, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pokok Sena pada 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat awam, terdapat penganjuran majlis pernikahan sedang berlangsung di kawasan itu.

"Pasukan pemantau yang menerima maklumat itu kemudian ke lokasi untuk mengesahkan aduan dan mendapati sebuah rumah kampung sedang mengadakan majlis kenduri.

"Majlis itu turut dihadiri beberapa penduduk kampung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, pasukan pemantau kemudiannya mengeluarkan kompaun RM4,000 terhadap tuan rumah selaku penganjur majlis itu.

Beliau berkata, kompaun dikeluarkan kerana kesalahan mengikut Peraturan 4 Akta 342 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Langkah Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 1988.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 10:01 PM