OPS Lonjakan Kapasiti memberi impak signifikan kepada usaha negara membendung Covid-19.
OPS Lonjakan Kapasiti memberi impak signifikan kepada usaha negara membendung Covid-19.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Langkah kerajaan melaksanakan Ops Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang terbukti berjaya meningkatkan jumlah suntikan harian vaksin Covid-19.

Timbalan Dekan (Jaringan dan Penjanaan) Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kejayaan meningkatkan jumlah suntikan harian memberi impak signifikan kepada usaha negara membendung Covid-19 daripada terus mengancam kesihatan rakyat.

Menurutnya, operasi seperti ini terbukti berkesan dengan jumlah harian suntikan yang melebihi sasaran awal kerajaan.

"Apabila jumlah vaksinasi meningkat bermakna lebih ramai rakyat negara ini dilindungi dengan antibodi melawan Covid-19.

"Namun, prosedur operasi standard (SOP) masih perlu diamalkan dan menjadi norma baharu kehidupan pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan lanjutan waktu operasi pusat pemberian vaksin (PPV) supaya jumlah suntikan boleh ditingkatkan segera.

Katanya, ia sesuai untuk diaplikasikan di kawasan zon merah dan berkepadatan tinggi kerana lebih ramai disuntik lebih cepat komuniti itu dilindungi daripada Covid-19.

"Ops Lonjakan Kapasiti ini boleh diperluaskan di semua negeri kerana kejayaannya sudah terbukti mempertingkatkan jumlah rakyat untuk divaksin.

"Malaysia perlu capai imuniti kelompok secepat mungkin kerana ia mengurangkan jumlah kes harian, kadar kemasukan wad, penggunaan alat bantuan pernafasan, rawatan di unit rawatan rapi dan kes kematian di luar hospital akibat Covid-19 atau brought in dead (BID)," katanya.

Kadar pemberian vaksin menerusi operasi lonjakan kapasiti dijalankan di Kuala Lumpur dan Selangor bagi membendung penularan pandemik di Lembah Klang.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilapor berkata, menerusi Operasi Lonjakan Kapasiti, kerajaan menyasarkan individu dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya satu dos menjelang 1 Ogos.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur ialah 6.1 juta.

Perluas operasi bagi suntikan dos kedua

Kejayaan Ops Lonjakan Kapasiti perlu diperluaskan untuk meningkatkan kadar suntikan vaksin bagi dos kedua.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Noran Naqiah Hairi berkata, kejayaan meningkatkan suntikan dos pertama sudah terbukti mampu dicapai dalam tempoh ditetapkan.

Menurutnya, jika diperluaskan ia akan meningkatkan kadar imuniti kelompok di negara ini berbanding sasaran hujung tahun ini.

"Kejayaan Ops Lonjakan Kapasiti ini hasil usaha dan kerjasama semua pihak termasuk petugas barisan hadapan dan masyarakat.

"Apabila kapasiti suntikan ditingkatkan, masyarakat akan dilindungi daripada jangkitan serius Covid-19," katanya.

Beliau berkata, kapasiti kesihatan akan lebih stabil berbanding kini yang dianggap kritikal kerana jumlah kes tinggi.

Katanya, imuniti kelompok boleh dicapai dengan kerjasama masyarakat yang tampil mendapatkan suntikan dalam usaha menjadikan Malaysia negara selamat.

"Suntikan vaksin boleh membantu mengurangkan jangkitan kritikal selain kematian walaupun risiko dijangkiti itu tetap ada.

"Kesedaran masyarakat juga bertambah menyebabkan jumlah vaksinasi meningkat lebih baik dan mencapai sasaran ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, kawasan Greater Klang Valley perlu diberi tumpuan dengan meningkatkan lebih tinggi kapasiti suntikan harian supaya masyarakat disuntik sekurang-kurangnya satu dos.

Operasi lonjakan kapasiti ini tidak akan mencetuskan sebarang gangguan bekalan di negeri lain kerana jumlah vaksin yang mencukupi.

Vaksin diberi sepanjang operasi di Lembah Klang ini ialah 50 peratus Pfizer dan 50 peratus Sinovac.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 11:31 AM