Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Malaysia menyambut baik kesediaan United Kingdom (UK) menyumbang 415,000 dos vaksin AstraZeneca secara percuma dalam membantu negara mengawal penularan Covid-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sumbangan itu akan membantu meningkatkan kadar vaksinasi harian yang berterusan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Setiausaha Luar, Dominic Raab dan kerajaan UK atas sumbangan berkenaan.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"Semasa perbualan kami baru-baru ini, beliau menyatakan harapannya agar sumbangan itu akan membantu Malaysia mengawal penularan pandemik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, sokongan berterusan yang diberikan UK amat dihargai dan mengeratkan lagi hubungan kerjasama dua hala.

Beliau percaya kedua-dua negara dapat bekerjasama dalam banyak usaha produktif bukan saja ke arah pemulihan pandemik ketika ini.

Katanya, ia juga termasuk kerjasama dalam vaksinasi dan gelembung perjalanan secara timbal balik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 9:41 PM