Petugas barisan hadapan berbincang ketika memantau pesakit Covid-19 di PKRC MAEPS Serdang. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Petugas barisan hadapan berbincang ketika memantau pesakit Covid-19 di PKRC MAEPS Serdang. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tindakan polis mengambil keterangan 17 doktor dan jururawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang semalam, adalah berhubung isu pencerobohan bukan berkaitan demonstrasi.

Menjelaskan isu itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, keterangan petugas terbabit diambil bersabit laporan mengenai enam pengamal media yang menceroboh masuk kawasan berkenaan pada Isnin lalu.

Menurutnya, ada pihak cuba memutarbelitkan tindakan polis itu sehingga isu berkenaan dibawa ke Parlimen.

"Saya menjelaskan bahawa tiada sebarang siasatan dilakukan berhubung penganjuran hartal doktor kontrak, sebaliknya ia berkaitan laporan polis dibuat Pengarah Maeps jam 4 petang semalam.

"Pengamal media dikatakan memasuki kawasan zon kuning iaitu kuarantin pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat tanpa kebenaran serta tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE)," katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Arjunaidi berkata, polis akan memanggil enam pengamal media terbabit untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan.

Ditanya berhubung tindakan polis merakam keterangan pegawai perubatan sehingga awal pagi, beliau berkata, proses rakaman itu dibuat ketika mereka sedang bertugas dengan kebenaran pihak pengurusan.

"Mereka bertugas antara jam 8 malam hingga 8 pagi, jadi kita ambil keterangan waktu itu secara bergilir. Kita juga ada hati perut dan faham mereka kepenatan, jadi kita tidak mahu ganggu waktu rehat mereka," katanya.

Selain itu, berhubung tindakan siasatan itu akan menyekat kebebasan media, beliau berkata, siasatan perlu dilakukan apabila adanya laporan dan keterangan saksi perlu dirakam.

Terdahulu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Bharu) ketika menyampaikan perbahasan pada Sidang Khas Dewan Rakyat meminta polis menjelaskan tindakan mengambil keterangan doktor kontrak.

Beliau dilaporkan berkata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sudah pun memberi jaminan tindakan tidak akan diambil kepada doktor yang menyertai demonstrasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 5:38 PM