Kuala Lumpur: Dua prosiding berhubung pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah diadakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) setakat ini.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) Khairy Jamaluddin berkata, beliau dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba sudah memberi keterangan kali pertama pada 5 Januari lalu.
"Semalam, saya sekali lagi memberikan keterangan di hadapan ahli-ahli PAC. Di dalam prosiding ini, dokumen perjanjian perolehan vaksin serta butiran perbelanjaan bagi PICK sudah dibentangkan," katanya pada Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, dengan peruntukan keseluruhan RM5.8 bilion, sudah pasti ia menimbulkan persoalan mengenai bagaimana ia sudah dan akan dibelanjakan.
Khairy berkata, selain daripada PAC, Mosti yang diwakili Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian juga memberikan keterangan di dalam prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi pada Jumaat lalu.
"Bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan PICK, satu taklimat dengan jemputan kepada semua ahli Parlimen juga diadakan pada 22 Mac lalu di Dewan Seri Siantan, Putrajaya," katanya.