Petugas barisan hadapan di MITEC minum air minuman Extra Joss sumbangan Kalbe. FOTO ihsan pembaca
Petugas barisan hadapan di MITEC minum air minuman Extra Joss sumbangan Kalbe. FOTO ihsan pembaca
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Banyak tenaga dicurahkan petugas barisan hadapan apatah lagi melayan kerenah beribu penerima vaksin yang memenuhi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Menyedari sumbangan besar 'hero' barisan hadapan ini, Kalbe Malaysia Sdn. Bhd. (Kalbe) selaku syarikat pengeluar minuman penambah tenaga jenama Extra Joss menyumbang 2,000 kotak minuman itu kepada petugas yang berada di PPV berkenaan.

Eksekutif Jenama, Bahagian Pengguna dan Minuman berkenaan, Raja Khairul Fitri Raja Kamal Pasmah berkata, sumbangan itu bagi menghargai peranan kira-kira 500 petugas barisan hadapan yang memastikan kelancaran operasi vaksinasi di PPV berkenaan.

"Sepanjang hampir dua minggu kami berada di MITEC, saya dapati mereka bertungkus lumus membantu ribuan individu yang datang untuk menerima vaksin. Oleh itu kami membancuh sekitar 200 kotak minuman Extra Joss sehari dan menghidangkannya kepada mereka.

"Sekurang-kurangnya sumbangan kecil kami ini dapat mengurang beban kepada pihak penganjur yang memerlukan tajaan daripada pelbagai syarikat korporat," katanya.

Menurutnya, ratusan petugas barisan hadapan di MITEC yang mula beroperasi sebagai PPV mega sejak 31 Mei lalu masih komited menyumbang tenaga setiap hari.

Mengulas lanjut, Raja Khairul Fitri menambah, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu akan terus diperluas ke PPV mega lain sebagai usaha pihaknya membantu kerajaan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Mungkin tidak banyak dapat kami sumbangkan namun air minuman tenaga ini diharap mampu menyegarkan petugas di PPV yang keletihan.

"Sedikit sebanyak program seumpama itu membantu meningkatkan momentum petugas barisan hadapan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Diharapkan program ini dapat diteruskan ke PPV mega lain dalam usaha kami bekerja sama dengan pihak penganjur PPV," katanya.

Jelas beliau, pada masa sama, Kalbe berharap dapat mempromosi jenama Extrajoss sebagai produk tempatan kerana sudah memiliki kilang di Muar, Johor sejak tiga tahun lalu walaupun produk itu diimport dari Indonesia sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, Extra Joss kini mencatat jualan lebih RM8 juta setahun dengan sasaran pembeli di luar kawasan bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 11:38 PM