NIK Nurjihan Nik Mahayuddin
NIK Nurjihan Nik Mahayuddin
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Bekas setiausaha kepada mantan Ketua Pegawai Operasi The New Straits Times Press (M) Bhd ditemui meninggal dunia akibat Covid-19 di rumahnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor, semalam.

Nik Nurjihan Nik Mahayuddin, 43, ditemui tidak sedarkan diri oleh abangnya yang ke rumahnya kira-kira jam 11 malam selepas tidak dapat dihubungi.

Adik arwah, Nik Yusrina, 39, berkata, abangnya kemudian menghubungi pihak hospital dan pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan arwah sudah meninggal dunia.

"Kakak tinggal seorang diri dan dia ada beritahu demam panas sejak Hari Raya Aidiladha. Sehingga Jumaat lalu, kesihatan arwah masih belum baik.

"Ibu ada menyuruhnya mendapatkan rawatan di klinik dan kami bertanya perkembangan kesihatannya setiap hari.

"Namun semalam dia tidak menjawab panggilan serta membalas WhatsApp, jadi abang ke rumah mencarinya sebelum dia ditemui sudah tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Yusrina berkata, jenazah kakaknya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian.

"Petang ini pihak hospital menghubungi saya mengesahkan arwah positif Covid-19. Kami masih menunggu maklumat mengenai tarikh dan waktu sebenar kematian kakak.

"Keluarga amat terkesan dengan pemergian kakak yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik. Arwah seorang kakak yang bertanggungjawab dan prihatin kepada ibu," katanya.

Menurutnya, urusan jenazah dan pengebumian kakaknya akan disempurnakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 7:54 PM