Seramai 30 doktor kontrak di Hospital Shah Alam (HSA) berkumpul secara aman bagi menuntut diberikan jawatan tetap. FOTO FAIZ ANUAR
Seramai 30 doktor kontrak di Hospital Shah Alam (HSA) berkumpul secara aman bagi menuntut diberikan jawatan tetap. FOTO FAIZ ANUAR
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan menyelesaikan segera permasalahan pegawai perubatan kontrak berhubung penempatan mereka, khususnya dari aspek keseluruhan sistem dan struktur bidang kesihatan negara.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, kerajaan perlu berikan satu jangka masa jelas terhadap usaha yang akan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM), selain melihat semula penempatan doktor yang bukan pada skop dan fungsi asalnya.

Menurutnya, ketika ini terdapat doktor yang bertugas di bahagian pengurusan untuk melaksanakan kerja pentadbiran dan kewangan sedangkan kepakaran mereka adalah di bahagian perubatan dan perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata pada masa sama, doktor-doktor muda yang sudah bergelar pakar di hospital kerajaan perlu terus komited berkhidmat di sektor kerajaan selepas menyambung pengajian melalui kemudahan yang disediakan kerajaan.

"Kerajaan sudah mengeluarkan belanja yang banyak untuk membiayai yuran pengajian dan adalah tidak wajar sekiranya mereka ini menjadikan sektor kerajaan sebagai transit atau batu loncatan untuk ke sektor swasta setelah bergelar pakar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Cuepacs juga berharap kerajaan dapat membuka ruang untuk doktor berkenaan melanjutkan bidang kepakaran di mana-mana intitusi yang diiktiraf kerajaan tanpa hanya fokus menjadi pakar jika sudah berkhidmat dengan hospital kerajaan sahaja.

Sementara itu Adnan berkata, Cuepacs pada dasarnya tidak bersetuju dengan tindakan sekumpulan pegawai perubatan kontrak yang mengadakan demonstrasi di seluruh negara kerana khuatir boleh menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan, namun kongres itu menghormati suara yang dibawa kumpulan terbabit.

"Cuepacs berharap kerajaan atau pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan daripada sudut perundangan mahupun tindakan tatatertib yang boleh memberi kesan kepada perkhidmatan pegawai perubatan kontrak ini.

"Cuepacs difahamkan tindakan 'demonstrasi' itu tidak menjejaskan operasi perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan masing-masing kerana ia hanya melibatkan mereka yang sedang rehat dan sedang bercuti," katanya.

Sehubungan itu, Adnan berkata, kerajaan perlu beri individu terbabit peluang sewajarnya memandangkan perkhidmatan mereka ketika ini amat diperlukan negara yang sedang menghadapi pandemik Covid-19.

Media melaporkan kumpulan terbabit mengadakan demonstrasi secara aman di seluruh negara pada pukul 11 pagi tadi.

Pada 23 Julai, kerajaan bersetuju supaya lantikan kontrak kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi untuk ditawarkan kontrak perkhidmatan dua tahun, sebaik tamat tempoh khidmat wajib mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 6:49 PM