SEKUMPULAN Sekumpulan Pegawai Perubatan Kontrak yang berkumpul menyertai hartal doktor kontrak di hadapan Klinik Pakar, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
SEKUMPULAN Sekumpulan Pegawai Perubatan Kontrak yang berkumpul menyertai hartal doktor kontrak di hadapan Klinik Pakar, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Tawaran penyelesaian yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap doktor kontrak, baru-baru ini adalah langkah ke hadapan yang dilihat positif.

Namun, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan menyerapkan doktor kontrak berkenaan kepada perjawatan tetap adalah jalan penyelesaian terbaik.

"Tawaran penyelesaian yang diumumkan Perdana Menteri, dilihat sebagai langkah positif, namun tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya tuntutan kumpulan pegawai perubatan berkenaan.

"Tuntutan mereka jelas, serapan ke jawatan tetap tidak berpencen, mencukupi dengan caruman untuk laluan kerjaya yang lebih terjamin.

"Pandemik Covid-19 selama 18 bulan sudah menonjolkan pelbagai kelemahan ketara dalam sistem kesihatan kita, justeru Malaysia memerlukan peningkatan drastik untuk sistem kesihatannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau berkata, penyerapan doktor kontrak ke perjawatan tetap sesuai dengan mengambil kira sumbangan, titik peluh dan pengorbanan mereka terutamanya ketika Covid-19.

Beliau berkata, ia perlu dilakukan sebagai suatu pengiktirafan khas dalam sejarah perubatan negara.

"Untuk kohort selepas mereka, perlu keluarkan garis panduan baharu yang lebih jelas untuk memasuki perkhidmatan kerajaan bagi memastikan lambakan pegawai perubatan tidak berlaku pada masa hadapan.

"Kita sedar tidak semua doktor dalam sistem kerajaan akan selamanya dengan kerajaan, akan ada mereka yang memilih haluan lain.

"Namun pengalaman mereka dalam perkhidmatan kerajaan akan meletakkan mereka lebih berwibawa," katanya.

Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri mengumumkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun.

Muhyiddin dilapor berkata, tawaran itu selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Dilaporkan ketika ini terdapat sekitar 4,000 hingga 5,000 doktor kontrak di seluruh negara.

Hari ini, perhimpunan secara aman dilakukan kumpulan doktor kontrak berkenaan di beberapa lokasi seluruh negara dengan tujuan mencari jalan damai selain berharap pihak berwajib dapat memikirkan masalah yang dihadapi kumpulan doktor terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 5:21 PM