ABANG Johari mendengar taklimat pembangunan SIDC di Kuching, hari ini. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan.
ABANG Johari mendengar taklimat pembangunan SIDC di Kuching, hari ini. FOTO Ihsan Jabatan Penerangan.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Individu di negeri ini yang sudah menerima suntikan vaksin boleh melakukan ujian 'serologi longitudinal' bagi memantau antibodi peneutralan spesifik menentang Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, ujian itu boleh dijalankan di Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) yang mendapatkan kerjasama Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan dengan segera oleh SIDC dan maklumat yang diperoleh daripada ujian itu tidak hanya penting untuk menentukan keberkesanan program vaksinasi.

"Malah, ia membolehkan keputusan lebih tepat mengenai perlunya pemberian dos penggalak dan jenis vaksin Covid-19 yang diberikan.

"Inisiatif ini juga membolehkan pengembangan potensi dalam pembangunan kit diagnostik dan ubat antibodi menentang Covid-19," katanya ketika berucap merasmikan majlis pra pelancaran SIDC dan Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) di sini, hari ini.

Menurutnya, SIDC yang bakal dibangunkan dengan anggaran kos RM200 juta akan memfokus kepada dua tema utama iaitu membangunkan kapasiti serta pengetahuan bagi memberi maklum balas kepada pandemik dan ancaman masa depan menerusi pembangunan sumber manusia serta penyelidikan memberi impak.

"SIDC juga bertanggungjawab menterjemah penyelidikan bioperubatan kepada aplikasi seperti peralatan diagnostik, rawatan vaksin dan vaksin.

"Ini adalah komitmen kita untuk menyumbang kepada usaha mengendalikan situasi Covid-19 di Sarawak menerusi penyelidikan bersasar," katanya.

Abang Johari berkata, dana penyelidikan SRDC akan digunakan bagi melakukan penyelidikan berfokus dan bersasar serta mendorong pembangunan bioterapi menggunakan kekayaan sumber semula jadi serta kepelbagaian biologi.

Bagi memantapkan peranannya, SRDC menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa pusat penyelidikan terkemuka antaranya Australia National Phenome Centre, Perth; National Centre for Infectious Diseases, Singapura; Amili Pte Ltd (Singapura); Cambridge Sparks; UNIMAS dan Swinburne Sarawak untuk kerjasama dalam bidang sains bioperubatan dan pembangunan sumber manusia.

"Ia menambah senarai rakan kongsi sedia ada seperti Cambridge Academic of Therapeutic Sciences, University of Cambridge," katanya.

Pembangunan SIDC diluluskan oleh Kabinet Sarawak pada Februari lalu dan akan dibina berhampiran Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kota Samarahan.

Matlamat utama SIDC adalah melindungi Sarawak dengan meningkatkan penyelidikan penyakit berjangkit, melengkapkan negeri ini dengan kemampuan dan kapasiti untuk menguji ubat-ubatan, vaksin dan peralatan menentang ejen jangkitan.

SIDC juga membolehkan Sarawak mengesan, mendiagnos dan meramal potensi wabak penyakit berjangkit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 4:16 PM