GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Sandakan: Seorang lelaki warga tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Fook Hin, Batu 14 di sini pada Jumaat lalu kerana berurus niaga minyak masak bersubsidi lebih lapan tan tanpa lesen sah.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sandakan Mohamad Hashim berkata, serbuan pada 8.45 malam itu menemukan suspek berusia 67 tahun sedang memotong paket minyak masak bersubsidi 1 kilogram.

"Minyak masak itu kemudiannya dimasukkan ke dalam tangki berwarna hitam sebelum disalurkan ke sebuah tangki plastik dengan menggunakan saluran paip di luar premis...suspek mengaku menerima minyak masak bersubsidi daripada pemborong berlesen sekitar Sandakan.

"Suspek juga mengaku menjual minyak masak itu kepada restoran dan sektor perindustrian bagi mendapatkan keuntungan tinggi yang mana perbezaan harga (minyak masak) industri dan subsidi adalah RM5.40 sekilogram," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata serbuan dilakukan oleh KPDNHEP bersama pasukan daripada Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) setelah menerima aduan orang awam mengenai kegiatan itu dan risikan selama dua minggu.

Mohamad berkata minyak masak bersubsidi bernilai RM2.50 sepaket 1 kilogram yang mana minyak masak dirampas pada serbuan itu bernilai RM20,212.50, dan turut dirampas peralatan bernilai RM2,000.

"Suspek telah ditahan KPDNHEP Sandakan untuk siasatan, setelah rakaman percakapan dan siasatan dijalankan suspek telah dilepaskan...KPDNHEP menjalankan siasatan lanjut terhadap pemborong terlibat dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat.

"KPDNHEP akan mengesyorkan pembatalan lesen terhadap pemborong, dan menarik balik kuota diberikan kepada pembungkus minyak masak terlibat," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 9:08 PM