Lim Ban Hong
Lim Ban Hong
Amir Mamat


Melaka: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meminta mana-mana pekerja dalam sektor perindustrian supaya membuat aduan segera jika diminta untuk membuat sebarang bayaran sebelum menerima suntikan vaksin covid-19.

Timbalan Menterinya, Datuk Lim Ban Hong berkata, langkah itu membolehkan pihaknya menyiasat sebelum mengambil tindakan tegas kepada pihak yang berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai perkara itu, namun akan menyiasat segera jika terdapat aduan yang dikemukakan pekerja industri kepada pihak kementerian.

"Sekiranya berlakunya situasi ini pekerja perlu segera membuat aduan menerusi talian hotline MITI atau menerusi emel kami supaya tindakan dapat diambil segera.

"Untuk makluman, MITI sudah pun menyediakan kadar bayaran hanya kepada syarikat yang menyertai Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 dan manakala penerimanya pula, termasuklah pekerja kilang adalah percuma," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS Penggunaan Umum di Bayou Convention Centre (BCC), Bukit Katil, di sini, tadi.

Menurutnya, nombor hotline MITI adalah 03-62000461, 03-62071089, 06-62000456 dan 03-62000458, atau menerusi aplikasi Whatsapp 012-6072750 atau emel [email protected] dan [email protected].

Kelmarin terdapat dakwaan di media sosial yang melaporkan satu sindiket menawarkan RM450 bagi warga tempatan dan RM800 bagi warga asing untuk penerimaan vaksin covid-19.

PIKAS dilancarkan pada 16 Jun lalu adalah sebuah kolaborasi strategik seumpamanya di antara pihak awam dan swasta yang berfokus untuk mempercepatkan vaksinasi dalam kalangan pekerja dalam sektor pembuatan.

Menerusi PIKAS, kerajaan menyediakan vaksin secara percuma, manakala pihak swasta akan membiayai dan menguruskan PPV, sekali gus mengurangkan kos pentadbiran pemberian vaksin yang perlu ditanggung kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 7:40 PM