BUNGKUSAN air ketum yang siap di proses. FOTO Ihsan polis
BUNGKUSAN air ketum yang siap di proses. FOTO Ihsan polis
Norzamira Che Noh


Klang: Kegiatan memproses dan menyimpan air ketum di sebuah rumah di Kampung Delek dekat sini terbongkar, selepas premis itu diserbu polis kelmarin.

Dalam serbuan jam 10 pagi itu, 101 bungkusan air ketum dirampas manakala dua lelaki ditahan untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hasil aduan dan maklumat awam.

"Tangkapan pertama dilakukan terhadap suspek berusia 37 tahun di Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang dan satu bungkusan air ketum dirampas.

"Ia disusuli tangkapan suspek kedua berusia 42 tahun dan rampasan 100 bungkusan air ketum di sebuah rumah di Kampung Delek.

"Keseluruhan air ketum berkenaan dianggarkan bernilai RM1,010," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati rumah berkenaan dijadikan sebagai stor dan tempat memproses air ketum.

Katanya, suspek dipercayai aktif sejak empat bulan lalu dan air ketum berkenaan akan diedarkan di sekitar Klang.

"Polis percaya daun ketum diperoleh suspek daripada seorang lelaki tempatan di Pulau Indah dan usaha memburunya giat dijalankan.

"Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 5:19 PM