LIM (kemeja putih) mengadakan lawatan ke PPV PIKAS Penggunaan Umum di BCC Bukit Katil, hari ini. FOTO Amir Mamat.
LIM (kemeja putih) mengadakan lawatan ke PPV PIKAS Penggunaan Umum di BCC Bukit Katil, hari ini. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat
am@hmetro.com.my


Melaka: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memohon lebih banyak lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Penggunaan Umum di bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Lim Ban Hong berkata, langkah berkenaan bagi mempercepatkan program pemberian vaksin kepada pekerja industri selain memastikan sektor perkilangan dapat beroperasi dengan baik.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 12 PPV PIKAS Penggunaan Umum sudah beroperasi di seluruh negara manakala 22 lagi PPV PIKAS Di Tapak (on-site).

"Ada dalam kalangan PPV PIKAS Di Tapak sudah pun menamatkan operasi, namun kita akan memohon semula untuk membuka PPV PIKAS Penggunaan Umum bagi membolehkan pekerja industri mendapatkan vaksin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke PPV PIKAS Penggunaan Umum di Bayou Convention Centre (BCC), Bukit Katil, di sini hari ini.

Turut hadir, EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengurus Besar Invest Melaka, Ramli Mohd Ali.

PPV PIKAS di BCC adalah yang pertama diwujudkan di Melaka dan antara lapan PPV Penggunaan Umum di seluruh negara yang sudah mendapat kebenaran untuk beroperasi bermula awal bulan ini.

Dalam kenyataan sebelum ini, MITI memaklumkan terdapat dua jenis PPV di bawah PIKAS iaitu PPV Penggunaan Umum dan PPV Di Tapak.

PPV Penggunaan Umum membabitkan pusat konvensyen dan pameran termasuk hotel manakala PPV Di Tapak pula adalah PPV di premis kilang.

Melaka mempunyai dua PPV PIKAS iaitu di kilang Texas Instruments dan Infineon Technologies, kedua-duanya di Batu Berendam, di sini.

Sementara itu, Lim berkata sehingga Rabu lalu sebanyak 17,053 syarikat membabitkan 1.3 juta pekerja sudah berdaftar untuk menerima vaksin di bawah PIKAS.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 298,306 pekerja sudah menerima vaksin bagi dos pertama manakala 28,596 lagi dos kedua.

"Sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pemberian vaksin perlu diselesaikan menjelang Oktober ini, saya berharap permohonan untuk membuka beberapa lagi PPV PIKAS Penggunaan Umum itu dapat dipenuhi.

"Saya yakin, dengan langkah itu akan mempercepatkan lagi program vaksinasi kepada golongan sasar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 4:46 PM