GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Tanah Merah: Kelantan mencatatkan 24 kes varian Beta dan satu kes varian Delta setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kewujudan varian baharu di Kelantan amat membimbangkan kerana ia sudah berada dalam komuniti.

Katanya, bagi varian Delta satu kes yang dikesan di Pasir Puteh dan terdapat 74 sampel lagi yang diambil serta dihantar ke makmal untuk diuji.

"Keputusan sampel berkenaan dijangka akan keluar dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

"Nasihat saya kepada semua masyarakat supaya berhati-hati dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana varian baharu ini seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) kadar kebolehjangkitannya lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Outreach Imunisasi Covid-19 Kebangsaan du Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Bunga di sini, hari ini.

Dalam program dua hari bermula hari ini, seramai 400 individu akan menerima vaksin.

Pada perkembangan yang lain, Dr Zaini berkata, kadar vaksinasi di Kelantan setakat ini seramai 350,000 yang sudah menerima suntikan vaksin bagi dos pertama.

Katanya, angka itu adalah 18 peratus daripada populasi yang berdaftar, manakala jumlah suntikan vaksin setiap hari dianggarkan antara 13,000 hingga 15,000 dos.

"Kapasiti suntikan vaksin di Kelantan adalah 30,000 dos sehari, jadi kita masih ada ruang jika bekalan vaksin meningkat.

"Kita menggalakkan orang ramai supaya terus daftar untuk mendapatkan vaksin. Jika mereka belum daftar boleh berdaftar dengan sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 4:43 PM