RAKAMAN CCTV berdurasi 50 saat yang tular menunjukkan mangsa diragut suspek menunggang motosikal yang membawa beg penghantar di kawasan Taman Selayang Makmur, Batu Caves. FOTO tular
RAKAMAN CCTV berdurasi 50 saat yang tular menunjukkan mangsa diragut suspek menunggang motosikal yang membawa beg penghantar di kawasan Taman Selayang Makmur, Batu Caves. FOTO tular
Raja Noraina Raja Rahim


Gombak: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila diragut semasa membantu suaminya yang berkerusi roda menaiki kenderaan e-hailing di sebuah flat Taman Selayang Makmur, Batu Caves di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian berlaku jam 8.30 pagi membabitkan wanita berusia 57 tahun.

"Berdasarkan laporan, mangsa bersama suaminya hendak menaiki kenderaan e-hailing untuk ke Hospital Selayang, sebelum dihampiri lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX dan membawa beg penghantar.

"Lelaki itu bertindak meragut rantai emas milik mangsa dan melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal Mohamed berkata, kejadian itu mengakibatkan mangsa kerugian RM3,500.

Menurutnya, polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Amirul di talian 03-61262222 atau 019-3491233 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 50 saat tular di media sosial yang menunjukkan mangsa diragut suspek menunggang motosikal di kawasan Taman Selayang Makmur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 10:17 AM