Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Perak, Pahang, Kedah dan Sabah bermula Isnin hingga 8 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan PKPD di Perak membabitkan kawasan Medan Klebang Restu (Mukim Chemor) dan Bandar Pulai Jaya (Mukim Sungai Raia).

"PKPD di Pahang pula membabitkan Blok 5 Felda Keratong 7, Muadzam Shah di Rompin, manakala asrama pekerja dan tapak bina Hospital Pendang di Kedah.

"Lima lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD adalah Kampung Lajau dan Kampung Kota Klias di Beaufort; Perumahan Ladang Kim Loong, Beluran; Kampung Tungkang, Kudat serta Kampung Telisai, Tungku, Lahad Datu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD berkenaan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di tujuh lokaliti di Sabah seperti yang dijadualkan mulai tengah malam ini.

"PKPD terbabit adalah QI Farm Membalua, Tawau; Kampung Pikat, Bongawan, Papar; Penjara Kepayan, Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya di Kota Kinabalu serta Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 7:20 PM