Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang. FOTO Aizuddin Saad
Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Putrajaya: Hospital Selayang akan menjadi sebuah hospital Covid-19 sepenuhnya dengan keupayaan menyediakan sehingga 450 katil untuk rawatan Covid-19, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong.

Sebagai satu daripada strategi menangani peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang, Dr Chong yang juga ketua pasukan petugas khas Greater Klang Valley berkata, pesakit lain di Hospital Selayang akan dirujuk ke hospital swasta di kawasan itu bagi meningkatkan keupayaan katil untuk pesakit Covid-19 kategori 3, 4 dan 5.

Kategori 3 merujuk kepada kes dengan pneumonia tetapi tidak memerlukan oksigen, kategori 4 (mereka dengan pneumonia memerlukan oksigen, manakala kategori 5 memerlukan sokongan ventilator.

"Hospital Selayang adalah hospital keempat di Lembah Klang ditukarkan menjadi hospital Covid-19 sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan petugas khas Greater Klang Valley ditubuhkan Kementerian Kesihatan bagi memantapkan tahap kesiapsiagaan sistem kesihatan dalam mengurus pandemik Covid-19 di kawasan Lembah Klang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 3:21 PM