GAMBAR hiasan. FOTO Aswadi Alias.
GAMBAR hiasan. FOTO Aswadi Alias.
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


Seremban: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) berharap program imunisasi Covid-19 membabitkan kalangan guru mencapai tahap 100 peratus menjelang sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula 1 September depan.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, langkah itu penting bagi mengelak kebimbangan guru untuk hadir ke sekolah bagi menjalankan tanggungjawab mereka.

Katanya, sekiranya guru tidak divaksinkan secara keseluruhannya, risiko penularan Covid-19 di sekolah sangat besar.

"Kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin yang memaklumkan setakat ini hampir semua guru sudah menerima vaksin, ternyata melegakan.

"Ini dapat memastikan pembukaan sekolah yang dirancang secara berperingkat pada 1 September depat dapat dilaksanakan dengan lancar dan meyakinkan semua pihak terutama guru, pelajar dan ibu bapa," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai segelintir guru yang bimbang terhadap keselamatan mereka susulan masih terdapat kalangan golongan pendidik itu belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Semalam, Khairy dilaporkan berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan bukan sahaja guru, malah kumpulan sokongan seperti tukang cuci, pengawal keselamatan dan pengusaha kantin dapat menerima vaksin sebelum sesi persekolahan bermula.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) harus mengambil kira pembukaan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) membabitkan sekolah sedikit pelajar, kawasan zon hijau dan berada di kawasan luar bandar, sebagai langkah mengurangkan risiko.

Beliau berkata, autonomi perlu diberikan kepada pihak sekolah dalam mengurus pembukaan sekolah, selain mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.

"Kami (i-Guru) yakin guru tiada masalah untuk mematuhi segala langkah yang ditetapkan KPM berdasarkan maklumat semasa.

"Namun, kami berharap KPM mendapatkan pandangan semua pihak terutama pemegang taruh pendidikan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 11:56 AM