Maslindah menjaga ibu dan bapanya. FOTO Mary Victoria Dass.
Maslindah menjaga ibu dan bapanya. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Doktor memaklumkan tiada lagi rawatan sesuai bagi ibu yang menghidapi tumor di kepala, leher dan pinggang. Doktor menasihati kami memberi penjagaan terbaik kepadanya," kata Maslindah Amir Rashid, 40.

Dia berkongsi penderitaan ibunya, Tomini Sarman, 74, yang disahkan menghidap tumor pertama di kepala 10 tahun lalu mengakibatkan Tomini kerap diserang sawan.

Menurutnya, ketika itu ibunya hanya mampu duduk dan menggerakkan tangan serta bergantung kepada bantuan ahli keluarga untuk bergerak.

"Akibat kerap bercuti kerana menjaga ibu, saya yang bekerja sebagai kerani di syarikat swasta dibuang kerja oleh majikan.

Bagaimanapun saya reda dan yakin ada hikmah di sebalik dugaan ini.

"Tidak lama selepas ibu sakit, ayah, Amir Rashid Ahmad, 73, pula mengalami masalah sakit pinggang dan hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda," katanya yang menetap di Jalan Padang 3, Stulang Baru di sini.

Maslindah berkata, ujian ibunya semakin berat apabila disahkan memiliki tumor termasuk di leher dan pinggang pada Mac lalu.

Menurutnya, doktor tidak menyarankan ibunya membuang tumor itu atas faktor usia dan tubuh yang lemah.

"Ibu hanya terlantar umpama bayi dan perlu diberikan susu disyorkan doktor empat jam sekali menggunakan tiub.

"Ibu masih bergantung kepada beberapa jenis ubat selain lampin pakai buang dengan perbelanjaan mencecah RM1,000.

"Buat masa ini hanya bapa saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500. Ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban kami," katanya.

Maslindah berkata, keluarganya bergantung kepada pendapatan suaminya, Mohd Asrin Asmuni, 40, yang bekerja sebagai pemandu di Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Bagi kami keperluan ibu adalah paling penting dan diutamakan, oleh itu kami sanggup mencatu makanan dan berjimat.

"Kami juga bersyukur atas sumbangan katil hospital daripada Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang Johor Bahru bagi kegunaan ibu.

"Hanya Allah SWT mampu membalas jasa mereka yang prihatin dengan nasib kami sekeluarga," katanya yang memiliki tiga cahaya mata berusia antara 11 hingga 17 tahun.

Maslindah berkata demikian selepas menerima kunjungan daripada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang Johor Bahru, Faridah Mustafa di sini, tadi.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan boleh menghubungi Maslindah ditalian 012 7159520 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat 223971106602.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 6:04 PM