TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah menyebarkan berita palsu. FOTO Nuraliawati Sabri
TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah menyebarkan berita palsu. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: Angkara memuat naik berita palsu berkaitan Covid-19, seorang wanita didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu ke atas Nur Anati Kamarudin, 28, selepas dia membuat pengakuan bersalah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan perkhidmatan Twitter miliknya dengan niat menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar berkaitan jangkitan Covid-19 di sebuah kilang.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Taman Ara Permai, Batu Berendam, di sini, kira-kira 9 pagi, 3 Jun lalu.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021 yang memperuntukkan hukuman hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Badius Zaman Ahmad yang memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira isu penyebaran berita palsu adalah serius dan membabitkan kepentingan awam.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan dikenakan memandangkan dia sudah diberhentikan kerja selepas insiden tular itu selain mempunyai tanggungan ibu bapa.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM2,000 atau empat bulan penjara sekiranya dia gagal membayar denda.

Difahamkan, tertuduh adalah individu pertama di negeri ini yang didakwa mengikut Ordinan Darurat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 3:06 PM