Jambatan Pulau Pinang
Jambatan Pulau Pinang
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Pulau Pinang ke arah Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila kadar suntikan vaksin Covid-19 di negeri itu mencapai 30,000 suntikan sehari, semalam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia adalah satu pencapaian terbaik untuk membolehkan imuniti kelompok diperoleh pada masa ditetapkan.

Menurutnya, dengan jumlah suntikan itu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melaporkan bahawa Pulau Pinang berada di kedudukan keenam berbanding negeri lain.

"Sehingga semalam, pecahan menunjukkan bahawa Pulau Pinang menyempurnakan 571,164 dos suntikan pertama dengan kadar 32.2 peratus berbanding jumlah populasi dan 41.8 peratus bagi kadar populasi dewasa manakala bagi suntikan dos kedua membabitkan seramai 240,038 iaitu 13.5 peratus dan 17.6 peratus bagi kadar populasi dewasa.

"Kita juga mencapai kadar suntikan harian sebanyak 30,055 dan usaha ini giat diteruskan bagi memastikan bahawa Pulau Pinang berjaya memasuki Fasa 3 PPN dan seterusnya mencapai imuniti kelompok," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, sehingga semalam sejumlah 12 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam termasuk empat hospital kerajaan beroperasi di negeri ini selain PPV integrasi, PPV mega, PPV instituai pengajian tinggi, PPV hospital swasta dan PPV pengamal perubatan orang awam dengan kapasiti dos suntikan maksimum 20,830 sehari.

"Pada Isnin depan, sebuah PPV pertubuhan badan bukan kerajaan (PPV) turut akan dibuka dengan kapasiti 1,000 suntikan sehari.

"Dalam pada itu, sembilan PPV bawah Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam Swasta (Pikas) turut beroperasi kini dengan jumlah suntikan kapasiti 10,200 sehari.

"Ini membuktikan bahawa selain sektor industri, kerajaan negeri turut memberi keutamaan kepada pengoperasian PPV awam bagi vaksinasi rakyat negeri ini secara menyeluruh," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 2:59 PM