GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Penerima vaksin tidak dibenarkan merakam video ketika disuntik vaksin Covid-19 di pusat penerimaan vaksin (PPV) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, merakam video dan gambar tidak dapat dibenarkan kerana ia dikhuatiri boleh mengganggu kelancaran proses vaksinasi di PPV.

"Penerima vaksin digalakkan meminta petugas PPV menunjukkan picagari kepada mereka sebelum dan selepas suntikan dilakukan.

"Merakamkan video dan gambar di PPV memang tidak dibenarkan kerana boleh mengganggu kelancaran proses vaksinasi dan sudah terdapat tanda larangan diletakkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian ketika mengulas gesaan beberapa pihak membenarkan orang ramai merakamkan gambar atau video ketika proses suntikan vaksin Covid-19.

Gesaan itu dipercayai susulan dakwaan berkaitan kandungan vaksin diberikan tidak cukup dos malah ada mendakwa disuntik picagari kosong.

Ahmad Amzad berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sudah mengarahkan petugas di PPV untuk menunjukkan picagari kepada setiap penerima sebelum dan selepas suntikan dilakukan.

"Langkah itu bertujuan memberi keyakinan kepada penerima bahawa suntikan diberikan benar-benar mengandungi vaksin Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 10:56 AM