GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


Miri: Sejumlah 120 daripada 126 kes positif Covid-19 yang dilaporkan di Daerah Miri hari ini dikesan daripada Kluster Tembok Miri.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) berkata, kesemua kes berkenaan hasil saringan sampel ulangan ke atas semua penghuni di Penjara Pusat Miri.

"Daripada 126 kes dilaporkan di Daerah Miri, 120 kes atau 95.24 peratus adalah dari Kluster Tembok Miri.

"Kesemua kes dikesan hasil saringan sampel ulangan bagi semua penghuni di Penjara Pusat Miri yang telah dikuarantin dalam kawasan berkenaan sejak Penjara Pusat Miri diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 9 Julai lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, setakat hari ini, seramai 1,005 individu disaring yang membabitkan banduan dan kakitangan penjara serta ahli keluarga termasuk kontak sosial kakitangan penjara.

Katanya, semua individu terbabit diberikan perintah kuarantin dan dipasangkan gelang pemantauan.

Menjelas lanjut, JPBBM berkata daripada jumlah 1,005 orang, 360 telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 365 dikesan negatif dan 280 masih menunggu keputusan ujian saringan.

Menurutnya, daripada jumlah 360 kes positif Covid-19 yang dikesan setakat ini, 343 merupakan penghuni banduan (95.28 peratus), manakala tujuh kakitangan penjara (1.94 peratus) dan 10 adalah ahli keluarga kakitangan penjara (2.78 peratus).

"Kesemua kes positif Covid-19 yang melibatkan penghuni banduan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang ditubuhkan dalam Penjara Pusat Miri.

"Manakala kes positif Covid-19 yang melibatkan kakitangan penjara dan ahli keluarga kakitangan penjara dimasukkan ke Hospital Miri dan PKRC di Miri untuk tujuan rawatan lanjut, pengasingan dan pemantauan," katanya.

Sementara secara keseluruhan, Bahagian Miri hari ini melaporkan 134 kes positif Covid-19 yang membabitkan 126 kes dari daerah Miri, empat kes dari daerah Telang Usan, dua kes dari daerah Subis dan dua kes dari daerah Beluru.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 5:03 PM