BERNAMA

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selesai membayar jaminan RM80,000 daripada jumlah keseluruhan RM330,000 yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan membayar wang jaminan itu di kaunter bayaran jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini sebelum beredar dari mahkamah pada 3 petang.

Ketika ditemui pemberita di perkarangan kompleks mahkamah itu, Syed Saddiq berkata beliau memberi kepercayaan sepenuhnya kepada peguam Gobind Singh Deo dan Datuk S. Ambiga untuk mengendalikan kes itu.

"Saya akan membuat siaran langsung di akaun Facebook saya pada pukul 8 malam ini berhubung kes ini," katanya yang menghadapi pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan Syed Saddiq melunaskan bayaran ikat jamin sebanyak RM80,000 pada hari ini manakala baki RM250,000 selewat-lewatnya Selasa depan.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman keluar selepas membayar wang ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman keluar selepas membayar wang ikat jamin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 4:58 PM