PTPTN. FOTO Arkib NSTP
PTPTN. FOTO Arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan

Kubang Pasu: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah meluluskan lebih 26,000 permohonan penangguhan bayaran pinjaman di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pemberian moratorium bersasar kepada peminjam selama tiga bulan itu diharap dapat meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan pihaknya masih lagi melakukan proses pemberian kelulusan penangguhan bayaran dan menerima permohonan baharu ketika ini.

"Sehingga hari ini, kita luluskan lebih 26,000 permohonan dan kita masih lagi menerima permohonan. Ini adalah tanda keprihatinan kerajaan dan PTPTN kepada mereka yang terkesan ketika tempoh pandemik ini kerana mereka yang terjejas dibantu dan diberi kelonggaran.

"Kita juga hargai peminjam yang kekal membuat bayaran balik, walaupun diberi moratorium. Kita puji mereka kerana tidak menyalahguna kemudahan berikutan moratorium adalah untuk mereka yang benar-benar terkesan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Program Ibadah Korban Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Parlimen Kubang Pasu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Kebajikan Kedah Halimaton Shaadiah Saad.

Wan Saiful berkata, pihaknya juga berharap mana-mana peminjam yang terkesan atau tidak mampu membuat pembayaran balik selepas tamah tempoh tiga bulan ini tampil memaklumkan kepada pihaknya.

Sementara itu, mengulas mengenai pelan strategik PTPTN yang sepatutnya diumumkan pada bulan lalu, beliau berkata pihaknya akan mengumumkan perkara itu pada penghujung bulan ini.

"Melalui pelan strategik ini, kita bagi penekanan kepada teknologi terkini untuk memastikan PTPTN sentiasa dapat kemas kini situasi semasa peminjam.

"Kita juga mahu memastikan mereka yang memerlukan pinjaman dapat diberi pinjaman, selain kita juga mahu mempermudah saluran bayaran balik termasuk mengembalikan semula imej PTPTN sebagai tabung pendidikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 4:53 PM