USTAZ Ebit Lew. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
USTAZ Ebit Lew. FOTO MOHD YUSNI ARIFFIN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis sudah merakam keterangan Ustaz Ebit Lew (UEL) pagi tadi, bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuatnya semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Ebit hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada jam 10.30 pagi tadi.

"Setakat ini hanya dia (Ebit) yang dipanggil untuk memberi keterangan, jika ada keperluan kita akan individu-individu yang berkaitan.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew membuat laporan polis berhubung tuduhan yang dilontarkan beberapa individu terhadap beliau menerusi laman sosial baru-baru ini.

Difahamkan laporan polis dibuat selepas beliau menerima tuduhan yang tidak berasas dari beberapa individu.

Ebit dalam sidang medianya semalam berkata, beliau menamakan beberapa individu termasuk ketua pegawai eksekutif sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan penyanyi rap Caprice.

"Saya pada mulanya tidak ingin memperbesarkan isu ini namun ia menjadi semakin tular (dalam media sosial) maka saya buat laporan polis dan serahkan kepada polis untuk siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 4:43 PM