POLIS menyerbu sebuah rumah di FELCRA Lubuk Sireh, Padang Besar dan menemui 500 kg daun ketum berselerakan di lantai rumah. FOTO ihsan PDRM
POLIS menyerbu sebuah rumah di FELCRA Lubuk Sireh, Padang Besar dan menemui 500 kg daun ketum berselerakan di lantai rumah. FOTO ihsan PDRM
Aizat Sharif


Padang Besar: Sebanyak 550 kilogram (kg) daun ketum dirampas selepas polis menyerbu sebuah rumah tidak berpenghuni yang disyaki menjadi lokasi transit penyeludupan ke Thailand di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, serbuan dilakukan pada 12.10 tengah malam selepas polis menerima maklumat mengenai penyeludupan ketum yang berlaku di sebuah rumah di penempatan berkenaan.

"Polis yang membuat pemeriksaan di rumah itu mendapati tiada sesiapa yang berada dalam rumah berkenaan.

"Pemeriksaan selanjutnya menemui 550 kg daun hijau yang dibalut dengan plastik lut sinar disyaki ketum berselerakan di atas lantas dalam rumah tidak berpenghuni itu," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya percaya rumah berkenaan dijadikan transit oleh sindiket penyeludupan untuk menyeludup daun ketum ke Thailand memandangkan kawasan rumah berkenaan juga berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand.

"Kita merampas barang berkenaan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan sabit kesalahan, boleh dihukum sehingga RM10,000 dan penjara sehingga empat tahun," katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah ataupun penyeludupan daun ketum dengan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar yang beroperasi 24 jam di talian 04-9491481.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 4:24 PM