Suasana sekitar pengebumian jenazah COVID-19 bagi bukan islam di Bliss Gardens Memorial Park, Setia Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Suasana sekitar pengebumian jenazah COVID-19 bagi bukan islam di Bliss Gardens Memorial Park, Setia Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri kesal dengan tindakan syarikat tertentu yang dikesan mengambil kesempatan mengenakan bayaran tinggi bagi menguruskan mayat bukan Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri J Arul Kumar berkata, bayaran dikenakan membebankan waris, termasuk membabitkan pusat pembakaran mayat.

"Alasan yang diberikan syarikat berkenaan yang mereka perlu menanggung kos tambahan untuk menyediakan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dan bahan sanitasi, adalah tidak wajar.

"Tambahan pula, mayat yang meninggal dunia akibat Covid-19 tidak melalui proses upacara keagamaan seperti kebiasaan yang mengambil masa lama dan tidak membabitkan kos yang banyak.

"Saya harap syarikat terbabit dapat bertolak ansur dengan mengenakan caj munasabah untuk tidak membebankan ahli keluarga mangsa pandemik ini," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang mencari kaedah terbaik dalam usaha mengurangkan beban keluarga berkenaan termasuk mendapatkan khidmat agensi kerajaan bagi membekalkan PPE dan bahan sanitasi.

Menurutnya, selain itu, ada juga cadangan supaya lebih banyak syarikat diberikan peluang menguruskan mayat bukan Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19.

"Ini akan membolehkan waris memilih mana-mana syarikat yang dapat menawarkan kos pengurusan lebih rendah mengikut kemampuan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 2:28 PM