Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Georgetown: Wanita Indonesia didenda RM14,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua tuduhan memiliki dan menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu.

Majistret R Manomani menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ziehara Toding, 22, yang juga pekerja sosial di sebuah motel di sini, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Tertuduh lima tahun menetap di negara ini, didakwa telah menggunakan aplikasi MySejahtera atas identiti orang lain sebagai dokumen pengenalan diri, antara 24 Jun 2021 hingga 12 Julai 2021.

Ziehara juga dituduh dengan sengaja memiliki kad pengenalan palsu individu yang lain sebagai dokumen pengenalan diri di Desa Pinang 2 Lebuh Sungai Pinang, di sini pada 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, 17 Julai 2021.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda itu, manakala denda RM8,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda bagi pertuduhan kedua.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Azry Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nur Zulfa (tengah) ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.
Nur Zulfa (tengah) ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.

Sementara itu, Pengarah JPN Pulau Pinang Nur Zulfa Ibrahim yang ditemui di pekarangan mahkamah berkata, kes berkenaan antara 11 kes yang sudah dihadapkan ke mahkamah membabitkan penggunaan MyKad palsu, sejak Januari hingga Jun lalu.

Katanya, jumlah kes meningkat berbanding hanya sembilan pada tempat sama tahun 2020.

"Seramai 25 individu ditahan atas kesalahan ini menerusi 21 operasi yang dijalankan dan daripada jumlah itu, 16 orang adalah warga asing, manakala sembilan orang rakyat tempatan yang melakukan kesalahan mendaftar kematian palsu," katanya.

Nur Zulfa berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras sindiket pengeluaran MyKad palsu di negeri itu dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan supaya melaporkannya menerusi saluran tersedia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 1:13 PM
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini kerana memiliki dan menggunakan MyKad palsu. FOTO Mikail Ong.
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini kerana memiliki dan menggunakan MyKad palsu. FOTO Mikail Ong.