GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mensasarkan 50 peratus penduduk di Sabah menerima suntikan vaksin sehingga Oktober ini dalam usaha mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, walaupun pihaknya mempunyai cadangan untuk membeli vaksin, namun pada masa sama, beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat menghantar lebih banyak bekalan vaksin.

"Kita mempunyai cadangan sedemikian (membeli vaksin) tetapi kita juga berharap kerajaan persekutuan dapat membekalkan vaksin ke negeri Sabah dalam jumlah lebih banyak.

"Sekarang ini, Sabah adalah antara negeri terendah yang menerima bekalan vaksin daripada kerajaan Persekutuan tetapi kita juga difahamkan mereka akan mula menghantar bekalan vaksin seterusnya bermula minggu ini.

"Jadi, dengan bekalan vaksin yang banyak ini, kita akan dapat meningkatkan pemberian vaksin kepada lebih ramai rakyat kita di Sabah.

"Kita mahu mencapai sehingga bulan Oktober ini, sekurang-kurangnya 50 hingga 60 peratus penduduk Sabah menerima vaksin kerana terdapat sekitar 2.7 juta populasi rakyat kita yang perlu diberikan vaksin," katanya ketika ditemui selepas lawatan kerjanya ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kuliah Pusat Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin.

Dalam pada itu, Hajiji turut menjelaskan, walaupun terdapat sedikit kelewatan penghantaran vaksin tetapi penghantaran bekalan vaksin dijadualkan semula bermula minggu ini.

Mengulas mengenai lawatan kerjanya hari ini, Hajiji menyatakan penghargaannya kepada pihak UMS yang turut memainkan peranan membantu kerajaan negeri dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah.

"Saya difahamkan UMS boleh memberi vaksin kepada 1,000 orang sehari dan mulai minggu hadapan, mereka boleh memberi vaksin untuk 3,000 orang.

"Saya dijuga turut difahankan UMS juga akan membantu kerajaan untuk memberi vaksin ke kawasan kampung. Ini adalah sesuatu yang cukup baik," katanya.

Sementara itu, Taufiq selaku Naib Canselor UMS turut memberitahu setakat ini 13,729 orang diberikan vaksin di PPV UMS sejak hari pertama pembukaannya pada 14 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 12:28 PM