Laporan terdahulu
Laporan terdahulu
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Ketua balai polis yang terbabit parti liar di sebuah balai di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan turut positif dadah, diambil tindakan tahan kerja bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, tujuh individu lain yang ditahan bersama pegawai itu dibebaskan dengan jaminan.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati pegawai polis berkenaan positif dadah jenis ganja dan direman dua hari untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azri berkata, siasatan terhadap kes itu turut dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kajang.

"Manakala JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan selari berkaitan salah laku dan pelanggaran tatatertib anggota dan pegawai berkenaan," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan JIPS Bukit Aman menahan seorang ketua balai polis bersama tiga anggotanya yang berhibur bersama empat wanita yang juga orang awam di sebuah balai polis di bawah pentadbiran IPD Kajang, Selangor.

Ketua balai polis itu yang berpangkat sub inspektor bersama dua anggotanya berpangkat koperal dan seorang koperal sokongan ditahan selepas menjadikan sebuah bilik di balai polis itu seperti disko dengan lampu berputar turut dipasang di dalamnya.

Polis turut merampas botol minuman keras, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan televisyen.

Berita berkaitan

Berhibur di balai polis, suspek positif dadah

'Balai polis disko' kena serbu

PDRM perlu kukuhkan integriti - MCCF

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 12:05 PM