HALIM Ishak.
HALIM Ishak.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melaksanakan pelan pemulihan integriti bagi mengembalikan semula keyakinan masyarakat terhadap pasukan itu.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Halim Ishak berkata, kebelakangan ini kepercayaan dan keyakinan masyarakat semakin terhakis kerana hilangnya integriti dalam kalangan anggota dan pegawai.

"Walaupun bukan semua, tetapi ia sudah pasti menjejaskan keseluruhan pasukan jika perkara seperti ini kerap berlaku di dalam pasukan.

"Ia kini menjadi kanser dan akan merebak sekali gus menghilangkan kepercayaan dan keyakinan terhadap pasukan," katanya kepada Harian Metro.

Halim berkata, pucuk pimpinan PDRM yang baharu perlu mengambil tindakan drastik dan tidak boleh berdiam diri serta memberi penjelasan kepada masyarakat.

"Masyarakat juga perlu tahu apakah tindakan yang akan dan sedang diambil oleh pengurusan tertinggi bagi mengelakkan perkara seperti terus berlaku.

"Dalam keadaan pandemik ini, mereka yang diberi kuasa untuk mengeluarkan kompaun dan menguatkuasakan undang-undang juga tidak menghormati peraturan yang ditetapkan, adakah masyarakat akan menghormati pasukan sebegini?" katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang Ketua Balai Polis (OCS) bersama tiga anggotanya serta empat wanita orang awam ditahan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Pada serbuan kira-kira 6 petang kelmarin itu, semua individu terbabit ketika sedang menari sambil berhibur dengan minuman keras serta meminum air ketum dalam bilik di tingkat dua di balai polis berkenaan.

  • 'Balai polis disko' kena serbu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 9:30 AM