Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang memberi rawatan pada kucing Siti Endon Ismail di perumahan Kubang Buaya. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang memberi rawatan pada kucing Siti Endon Ismail di perumahan Kubang Buaya. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) membantu merawat kira-kira 100 kucing milik ibu tunggal, Siti Endon Ismail yang menetap bersama haiwan terbabit di perumahan Kubang Buaya.

Pengarah JPV Pahang, Dr Kamaliah Ghazali berkata, antara rawatan segera yang diberikan ialah memberi ubat cacing, ubat kutu, vitamin, ubat selesema dan ubat mata kepada semua kucing berkenaan..

Pihaknya turut memberi nasihat termasuk panduan kepada Siti Endon berkaitan penjagaan haiwan dan pemakanan serta persekitaran tempat tinggal haiwan itu.

"Pejabat Perkhidmatan Veterinar (PPV) Daerah Kuantan diketuai pegawainya, Norman Abdul Rahman datang ke rumah wanita terbabit di perumahan Kubang Buaya bertujuan untuk melihat seterusnya memberi rawatan pada semua kucing miliknya.

"Memelihara haiwan kesayangan seperti kucing dengan jumlah yang banyak memerlukan perhatian lebih daripada pemiliknya, rawatan perlu sentiasa dilakukan bagi mengelak haiwan terbabit mudah dijangkiti pelbagai penyakit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas berkunjung ke rumah wanita penghibur maskot di pantai Teluk Cempedak, Siti Endon bagi melihat keadaan sebenar wanita terbabit yang tinggal bersama kira-kira 100 ekor kucing.

Sebelum ini, tersebar berita berkaitan ibu tunggal berkenaan yang bertindak mengibarkan bendera putih dan merah selepas terputus pendapatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Dr Kamaliah berkata, terdapat banyak kucing milik wanita terbabit yang kelihatan kurang sihat dan kurus disebabkan pelbagai faktor, antaranya aspek pemakanan selain tidak menerima rawatan secara berjadual terutama ubat cacing dan vitamin.

"Kita akan terus memantau keadaan kesihatan semua kucing belaan Siti Endon supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada apa juga penyakit seperti kurap," katanya.

Sementara itu, Siti Endon mengucapkan terima kasih kepada JPV yang menyediakan rawatan pada kucingnya.

"Saya akan berusaha mengikut nasihat dan panduan yang diberikan pengarah JPV Pahang supaya kucing saya sentiasa berada dalam keadaan selamat.

"Sebelum ini, saya turut menerima bantuan keperluan asas, wang tunai (RM2,000) dan makanan kucing daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP)," katanya.

Berita berkaitan

'Sekurang-kurangnya bantulah kucing saya' [METROTV]

Siti Endon terima bantuan, MUIP sumbang juga seguni makanan kucing

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 8:52 AM