DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg. FOTO Arkib NSTP
DATUK Patinggi Abang Johari Abang Openg. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Setiap keputusan untuk menangani pandemik Covid-19 di Sarawak dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan yang disesuaikan dengan keadaan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, langkah itu bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat lebih praktikal dan berkesan.

Menurutnya, keupayaan dalam membuat keputusan sendiri untuk kepentingan rakyat seharusnya mencerminkan jati diri anak Sarawak menentukan masa hadapan mereka sendiri supaya negeri ini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri yang sudah berada di hadapan.

"Sarawak menghormati Kerajaan Persekutuan dan keputusan yang dibuat di peringkat persekutuan.

"Namun tidak semua keputusan yang dibuat di Putrajaya sesuai atau praktikal dilaksanakan di Sarawak," katanya dalam perutusan sempena Hari Sarawak yang akan disambut esok.

Hari Sarawak disambut setiap 22 Julai bagi memperingati peristiwa bersejarah penyerahan kuasa pentadbiran kepada anak watan Sarawak oleh penjajah British pada 1963.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Sarawak adalah wilayah hampir sama besar dengan tanah Semenanjung dan ada ketikanya dengan kekangan sumber dan infrastruktur, agak sukar untuk pihak berkuasa negeri melaksanakan keputusan yang dibuat di peringkat persekutuan.

"Antaranya modifikasi kepada proses pemberian vaksin perlu bagi membolehkan rakyat kita di luar bandar diberi suntikan vaksin dahulu kemudian barulah didaftar di dalam aplikasi MySejahtera.

"Kita akur, sukar bagi rakyat yang tinggal di rumah panjang dan kampung di pedalaman untuk mendaftar dan mengakses MySejahtera.

"Membuat keputusan sendiri sesuai dengan keperluan negeri ini terbukti membolehkan kerajaan negeri mengambil langkah mempercepatkan proses pemberian vaksin di Sarawak," katanya.

Menurutnya lagi, proses vaksinasi bertambah lancar apabila Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dengan kerjasama pelbagai pihak, terutamanya pihak industri, menubuhkan pusat pemberian vaksin (PPV) di tempat kerja selain penubuhan pasukan bergerak untuk memberi vaksin kepada mereka yang tidak dapat datang ke PPV.

"Proses vaksinasi kita juga mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membantu melaksanakannya di kawasan luar bandar.

"Alhamdulilah, dengan semua langkah itu Sarawak adalah antara negeri yang terpantas dalam program pemberian vaksin dengan lebih daripada 60 peratus daripada 2.2 juta rakyat dewasa sudah menerima dos pertama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 1:26 AM