FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lapan lokaliti di Sarawak dan Sabah bermula Khamis ini hingga 4 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perintah itu dikenakan selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.

Menurutnya, dua lokaliti di Kuching, Sarawak yang menjalani perintah itu adalah Kampung Bintawa Hilir dan Kampung Sungai Tapang.

"Di Kota Kinabalu, Sabah pula empat lokaliti dikenakan PKPD iaitu Kilang Papan Lusera Telipok, Kampung Mogiding Malawa & Kuarters Pekerja Progressif Perwira, Kampung Sinulihan dan Universiti Utama Condominum Fasa 2.

"Selain itu, dua lagi adalah Kampung Guruh-Guruh, Sipitang dan Kampung Air, Kampung Bokara di Sandakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, sementara itu, PKPD di Kampung Sri Menanti, Tawau; Perkampungan Kepulauan Gaya, Kota Kinabalu, Kampung Pondo, Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai, Kampung Pulau Gaya yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan bermula Khamis hingga 4 Ogos.

"Dua perkampungan Orang Asli di Rompin, Pahang iaitu Kampung Kerpal dan Kampung Pinang pula ditamatkan PKPD bermula esok mengikut jadual," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 8:33 PM