PERSEMBAHAN pemain biola menghiburkan penerima vaksin di PPV SCCC, Shah Alam. FOTO Ihsan Rosela Ismail
PERSEMBAHAN pemain biola menghiburkan penerima vaksin di PPV SCCC, Shah Alam. FOTO Ihsan Rosela Ismail
Redzuan Muharam


Shah Alam: Persembahan pemain biola menjadi tarikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia City Convention Centre (SCCC), di sini, sekali gus menghiburkan penerima yang hadir sementara menunggu giliran untuk divaksin.

Gesekan biola oleh pemain profesional yang diundang itu juga menghilangkan rasa gementar penerima vaksin selain menceriakan mereka sempena sambutan Aidiladha, hari ini.

Penerima vaksin, Rosela Ismail mengakui terhibur menyaksikan persembahan berkenaan.

"Saya datang ke PPV dengan ditemani suami namun dia hanya menunggu di dalam kereta dekat kawasan parkir..

"Proses vaksinasi berjalan lancar dan selesai menerima suntikan, saya lihat kelibat seorang gadis membuat persembahan bermain biola di dalam PPV.

"Sementara menunggu proses pemantauan selesai, saya sempat menyaksikan persembahannya dan pelbagai lagu bahasa Melayu, Inggeris serta Mandarin dimainkannya, malah saya lihat penonton yang hadir turut teruja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

ROSELA hadir janji temu suntikan vaksin di PPV SCCC, Shah Alam. FOTO Ihsan Rosela Ismail
ROSELA hadir janji temu suntikan vaksin di PPV SCCC, Shah Alam. FOTO Ihsan Rosela Ismail

Menurut Rosela, usaha PPV SCCC mengundang pemain biola berkenaan satu inisiatif yang baik dan wajar menjadi contoh kepada PPV yang lain.

"Ada dalam kalangan penerima gementar dan tidak kurang juga takut untuk mengambil suntikan vaksin terutama dos pertama.

"Jadi, persembahan seperti itu bukan hanya menghiburkan penerima vaksin hadir malah mungkin menghilangkan debaran mereka.

"Ia satu usaha yang baik dan saya ucapkan syabas kepada pengurusan PPV yang tentunya komited dalam menyediakan perkhidmatan terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 8:02 PM