UUM.
UUM.
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memberi bantuan wang tunai dan barangan keperluan asas bagi membantu meringankan beban penghuni di Inapan Siswa (Inasis) Maybank yang musnah dalam kebakaran hari ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pihak universiti turut akan membantu menguruskan penggantian dokumen perjalanan yang musnah dalam kebakaran dan memberi sokongan kaunseling kepada mereka yang tinggal di Inasis berkenaan.

"Pihak universiti bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Pelajar sudah ditempatkan di penginapan baharu di blok berhampiran.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan bomba dan masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan," kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hari ini, media melaporkan tingkat tiga asrama pelajar di UUM di sini musnah 80 peratus dalam kebakaran.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.55 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashawir, berkata UUM memberi jaminan bahawa keselamatan warga kampus khususnya pelajar adalah perkara yang menjadi keutamaan pengurusan universiti.

Katanya, pihak universiti sentiasa menekankan pelbagai aspek keselamatan termasuk kawalan kebakaran di semua bangunan seluruh kampus memenuhi piawaian terkini yang ditetapkan pihak bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 4:49 PM