ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO NSTP
ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, menahan 541 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 492 individu dikenakan kompaun manakala 20 lagi direman dan 29 dijamin.

"Pasukan sama turut melaksanakan 83,710 pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan di seluruh negara membabitkan kekuatan 19,465 anggota.

"Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 31 premis membabitkan kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarah tutup kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng semalam menahan 11 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas tujuh kenderaan darat.

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut melakukan 2,878 Pemeriksaan Khas Pematuhan SOP.

"Daripada jumlah itu, 2,872 premis mematuhi SOP manakala enam lagi dikompaun kerana tidak patuh SOP," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya terus mengamalkan kawalan kendiri dengan kekal di rumah dan gaya hidup sihat bersama keluarga dalam lingkungan kawasan rumah sendiri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 8:25 PM