DATUK Abdul Rahman Salleh (kanan) dan Ahmad Solihin Mohamed Yusoff, memeriksa sumbangan barang keperluan oleh syarikat Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd. FOTO ihsan Hospital Permai
DATUK Abdul Rahman Salleh (kanan) dan Ahmad Solihin Mohamed Yusoff, memeriksa sumbangan barang keperluan oleh syarikat Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd. FOTO ihsan Hospital Permai
Mohamed Farid Noh


Johor Bharu: Kadar penggunaan katil (BOR) di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan PKRC Wanita dan Ibu Mengandung Olive B, Hospital Permai, di sini, masing-masing merekodkan kadar melebihi 90 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh, ia berikutan kes positif harian di negeri ini terus merekodkan lonjakan mendadak, kebelakangan ini.

Abdul Rahman yang juga Pegawai Daerah Johor Bahru berkata, namun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memutuskan masih belum ada keperluan untuk membuka sebuah lagi PKRC awam di daerah ini buat masa sekarang.

Bagaimanapun katanya, jawatankuasa berkenaan sudah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk bersedia dengan pelan kecemasan, jika kadar penggunaan katil (BOR) di dua PKRC awam negeri itu terus merekodkan kadar melebihi 95 peratus.

"Jumlah pesakit Covid-19 terkini yang ditempatkan di PKRC Wanita dan Ibu Mengandung Olive B, Hospital Permai semalam adalah seramai 533 orang iaitu 503 pesakit positif dan 30 lagi dalam pemerhatian dengan kadar BOR adalah di paras 91.1 peratus.

"Jumlah BOR di PKRC Olive B pernah mencapai tahap yang paling tinggi iaitu 94.1 peratus dengan jumlah katil yang dihuni ialah sebanyak 551 katil daripada jumlah keseluruhan 585 katil pada Khamis lalu, sebelum ia menurun selepas itu.

"Peningkatan kes positif dalam kalangan rakyat di negeri ini mencetuskan kebimbangan dan meletakkan kita berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi segala kemungkinan seperti lambakan pesakit yang positif di kedua-dua PKRC awam ini.

"Sekiranya kadar penggunaan katil di dua PKRC awam ini melebihi 95 peratus, kita terpaksa memaksimumkan penggunaan PKRC dengan menambah bilangan katil di tempat sedia ada atau terpaksa membuka PKRC awam baharu. Namun, kita berdoalah perkara itu tidak akan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan barang keperluan oleh syarikat Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd berjumlah RM50,000, bagi kegunaan penghuni di PKRC Wanita dan Ibu Mengandung Olive B, Hospital Permai.

Penyerahan replika cek itu disampaikan oleh Naib Presiden Lotte Chemical Titan, Ahmad Solihin Mohamed Yusoff di Hosital Permai, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Operasi Olive B, Dr Mohamad Faiz Maarof.

Dalam pada itu Dr Mohamad Faiz berkata, jika keadaan mendesak, pihaknya akan menjadikan bilik rehat di setiap tingkat bangunan lima tingkat di Olive B Hospital Permai, untuk dijadikan bilik pesakit yang mampu menempatkan sebanyak 75 lagi pesakit secara keseluruhan.

"Sebenarnya, kita sudah menggunakan segenap ruang yang ada di Olive B ini bagi menempatkan 585 katil pesakit. Sekiranya perlu untuk menambah katil, maka kita terpaksa gunakan bilik rehat di setiap aras selain mempertimbangkan untuk membuka khemah tambahan," ujarnya.

PKRC Olive B ini dibuka khas bagi pesakit tahap 1 dan tahap 2 membabitkan golongan wanita, ibu mengandung dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun yang bergejala ringan atau tidak bergejala.

Sejak dibuka pada 13 Jun lalu, jumlah kumulatif pesakit adalah seramai 1,734 pesakit sehingga semalam membabitkan 1,476 pesakit wanita, 258 lelaki (bayi dan kanak-kanak) dan 98 orang dalam pemerhatian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 5:42 PM