Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Persiapan sambutan Aidiladha dibuat secara sederhana di Kelantan apabila kehadiran pengunjung di sekitar pasar kelihatan tidak seramai seperti sebelumnya.

Tinjauan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendapati orang ramai mengunjungi pasar itu untuk membeli barangan basah seperti ayam, daging dan sayur dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pada masa sama, bekalan makanan mencukupi dengan harga jualan pada tahap normal, tanpa sebarang kenaikan harga walaupun sebelum ini wujudnya kebimbangan harga barang naik mendadak pada musim perayaan.

Malah, laluan trafik di sekitar Kota Bharu kelihatan sedikit lengang berbanding hari lain.

TINJAUAN di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjong mendapati orang ramai membuat persiapan tetap dibuat sempena sambutan Aidiladha pada hari esok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TINJAUAN di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjong mendapati orang ramai membuat persiapan tetap dibuat sempena sambutan Aidiladha pada hari esok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Peniaga ikan, Azizi Arifin, 40, berkata, walaupun kemeriahan tidak seperti tahun sebelum ini, kebanyakan pengguna mengambil peluang pada hari terakhir sebelum Aidiladha untuk membeli barang keperluan.

"Jualan ikan tidak selaris sebelum pandemik Covid-19 kerana pembeli hanya membeli dalam kuantiti sedikit disebabkan ahli keluarga tidak dapat pulang ke kampung menyambut hari raya bersama.

"Namun, saya tetap bersyukur masih pembeli meskipun tidak dapat menjangka pengunjung dan kadang kala ramai orang, tetapi hari ini keadaan sedikit lengang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 4:54 PM